DPLI MU/PC 2012
1.0 KONSEP
PEMIKIRAN
Menurut Mok Soon Sang (2011), pemikiran merupakan satu
proses di mana aktiviti membina ilmu dan
kefahaman yang melibatkan mental dan otak manusia. Semasa berfikir, otak
manusia akan bertindak dengan usaha menerima rangsangan dari luar melalui deria
seperti telinga untuk mendengar, mata untuk melihat. Seterusnya membentuk
konsep, membuat tafsiran dan bertindak balas berdasarkan pengalaman yang sedia
ada dalam ingatan.
Menurut Dewey (1910) menyatakan bahawa
pemikiran adalah sebagai aktiviti mental dalam sesuatu proses untuk
menyelesaiakan masalah yang dihadapi. Guiford (1967) berpendapat bahawa
pemikiran ialah sesuatu jenis kebolehan atau keupayaan dan mempunyai pelbagai
kemahiran berfikir. Teori Roger Sperry (1970) pula menghuraikan fungsi otak
kiri manusia yang berfikir secara kritis manakala otak kanannya berfikir secara
kreatif. Mayor (1977) memberi tafsiran bahawa pemikiran sebagai pengelolaan
operasi-operasi mental dalam sistem kognitif dan telah digunakan untuk
menyelesaikan masalah. Davidoff (1979) melihat pemikiran sebagai penggunaan
simbol, gambar, perkataan, pengamatan dan konsep. Melalui pemikiran, rangsangan
luar yang diterima oleh deria akan ditafsir dengan menggunakan perkataan atau
simbol untuk membentuk konsep terhadap rangsangan.
Secara keseluruhannya, pemikiran adalah
suatu proses yang menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian
terhadap sesuatu masalah atau keraguan yang timbul dengan menggunakan pelbagai
cara dan kaedah. Seterusnya membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi
yang logical dan munasabah terhadap proses yang dialami (Mok Soon Sang, 2011).
2.0 JENIS-JENIS PEMIKIRAN
2.1 PEMIKIRAN
MENDATAR/ LATERAL
Pemikiran mendatar atau lateral juga dikenali sebagai
pemikiran analitikal. Pemikiran ini diperkenalkan oleh Dr. Edward De Bono.
Pemikiran lateral ini adalah pemikiran yang melepaskan pemikiran berpandu dari
keadaan masalah dengan melihat masalah yang dihadapi dari pelbagai perspektif yang berlainan (Mok
Soon Sang, 2011).
Pemikiran Lateral ialah satu cara
penyelesaian masalah yang menggunakan daya imaginasi dan bukan secara logik
atau tradisional. Ia adalah pemikiran yang menitikberatkan pelbagai jenis jawapan
dan tidak menggunakan cara tradisional dan idea yang lama yang telah
digunapakai. Pada masa yang sama ia juga bertujuan melepaskan diri daripada
cengkaman persepsi-persepsi lapuk untuk mencari dan mencipta idea-idea baru.
Secara
keseluruhan, pemikiran lateral membawa maksud cara menyelesaikan masalah dengan
menggunakan daya imaginasi dan bukan semata-mata dengan menggunakan logik atau cara-cara
pemikiran yang biasa sehingga dapat menghasilkan pelbagai pendekatan yang
kelihatan luar biasa tetapi amat berkesan (Atan Long, 1976).
Dalam
pemikiran ini, seseorang melihat masalah yang dihadapi dengan
perspektif-perspektif yang berlainan, maka masalah yang dihadapi senang
diselesaikan. De Bono mengatakan bahawa terdapat empat faktor yang penting
dalam pemikiran lateral. Pertama adalah mengenalpasti idea-idea dominan utama
dalam masalah yang dihadapi, kedua ialah melihat masalah daripada pelbagai
sudut yang berlainan. Faktor yang seterusnya ialah melonggarkan cara-cara
pemikiran yang terkawal. Faktor yang terakhir adalah menggunakan idea-idea yang
diberikan oleh orang lain. Bagi seseorang guru yang menggunakan pemikiran
lateral ini adalah bertujuan untuk meransangkan pemikiran kreatif murid-murid
apabila dalam kumpulan. Ini akan menggalakan mereka saling berhubung antara
satu sama lain. Contohnya dalam aktiviti sumbangsaran setiap murid akan memberi
idea masing-masing (Ragbir Kaur, 2012).
Dalam
proses pemikiran lateral, guru-guru haruslah menggalakan murid-murid untuk
menyelesaikan masalah melalui pelbagai perspektif yang berlainan dengan
memecahkan masalah kepada bahagian-bahagian yang kecil dan meletakkannya semula
untuk melihat cara penyelesaian yang berbeza di samping membuat pertimbangan
secara logik dan menyeluruh. Dengan melihat alternatif yang berbeza juga boleh
membuat perbandingan dengan cara penyelesaian tradisional dalam menyelesaikan
masalah. Seterusnya memilih cara penyelesaian yang terbaik dan dapat memberi
manfaat kepadanya.
2.2
PEMIKIRAN MENEGAK
Pemikiran menegak juga dikenali sebagai “ Vertical Thinking” yang menggunakan
proses-proses akal yang tradisional dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Kebanyakan manusia menggunakan pemikiran menegak ini hasilnya daripada pendidikan formal mereka. Maka,
pemikiran ini juga juga dikenali sebagai pemikiran logik kerana ia
menyelesaikan masalah dengan menggunakan urutan-urutan dan langkah-langkah yang
sistematik. Contohnya pemikiran penaakulan yang meliputi pemikiran induktif dan
pemikiran deduktif.
Menurut Santrock (2004), pemikiran
penaakulan atau pemikiran logikal merujuk kepada satu sistem pemikiran yang
mempunyai satu set peraturan rujukan yang membolehkan rumusan dibuat mengikut
anggapan yang sahih. Ia berlaku dalam situasi yang memerlukan membuat inferens
atau kesimpulan berdasarkan fakta, teori atau hukum yang sedia ada.
Contohnya matematik dapat diperhati sebagai satu sistem logik yang mempunyai
banyak peraturan rujukan atau rumus untuk manipulasi nombor dan simbol serta
memberi bukti. Bukti pula berdasarkan rumus matematik merupakan penaakulan
secara deduktif. Tetapi pernyataan generalisasi dan prinsip yang berasaskan
contoh yang sama dalam sains adalah terhasil daripada pemikiran penaakulan
induktif. Pemikiran penaakulan ini diklasifikasikan kepada dua iaitu pemikiran
induktif dan pemikiran deduktif.
Menurut Johnson-Laird (2000), pemikiran
induktif adalah aktiviti memerhati, mengkaji dan mentafsirkan maklumat-maklumat
atau data berdasarkan pengalaman, pengetahuan, teori atau hukum yang sedia ada.
Kemudian menganalisis maklumat dan menaakul dalam mencari rumusan yang
munasabah daripada tafsiran. Dalam pendekatan induktif, guru-guru
akan bermula mengajar dengan memberi contoh-contoh tertentu berdasarkan sesuatu
prinsip. Dari contoh yang diberikan, murid-murid akan membuat kesimpulan yang
menyeluruh tentang konsep yang diajar oleh guru-guru. Selepas itu, guru-guru
akan menyoal dan membimbing murid-murid dengan lebih lanjut untuk memperkuatkan
kesimpulannya. Dalam pendekatan ini, murid-murid akan lebih menumpu perhatian
semasa guru mengajar kerana penglibatan mereka secara aktif dalam proses
pembelajaran. Dengan cara ini, pembelajaran dan pengajaran yang dijalankan
tidak membosankan malah lebih berkesan.
Pemikiran deduktif pula menggunakan
rumus, kesimpulan, prinsip, hukum, peraturan untuk menentukan penyelesaian
situasi bermasalah yang khusus. Dalam pendekatan deduktif, guru-guru akan
memulakan pengajaran dengan menjelaskan dengan teliti tentang rumus-rumus,
prinsip, syarat-syarat, teori atau peraturan-peraturan untuk sesuatu konsep
atau persoalan. Kemudiannya, rumus, prinsip atau syarat yang telah dipelajari
akan diaplikasikan dalam contoh-contoh lain oleh murid-murid. Proses
menyelesaikan masalah atau membuktikan hipotesis tidak terhad kepada
menggunakan satu prinsip, rumus atau teori yang dipelajari. Tambahan pula, guru
tidak perlu menunjukkan cara
menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membukti hipotesis, tetapi
membimbing murid melalui aktiviti soal jawab sehingga mereka menjalankan
aktiviti penyelesaian masalah sendiri.
2.3
PEMIKIRAN KRITIS
Menurut Dewey (1993) berpendapat bahawa pemikiran kritis
adalah berfikir secara serius atau mendalam dan seterusnya membuat pertimbangan
daripadanya. Menurut Bloom (1956) menyatakan pemikiran kritis melibatkan
aktiviti mental secara analisis, sintesis dan juga penilaian. Menurut ahli
psikologi iaitu Nik Aziz (1994) telah mengatakan secara umumnya pemikiran
kritis ialah pemikiran yang meletakkan logik antara gerak hati dengan tindakan.
Pemikiran kritis juga akan menganalisis secara holistik dan melihat masalah
dari pelbagai dimensi. Ia adalah suatu usaha untuk menyelesaikan masalah malah
bukan bergiat mencetuskan pelbagai krisis baru.
Pada pendapat Jaafar (1995) pula,
pemikiran kritis adalah pemikiran secara sistematik, secara universal dan
radikal dalam menganalisis sesuatu secara mendalam. Menurut Scriven dan Paul
(1995), pemikiran kritis ialah bentuk pemikiran yang sebaris dengan “modes of
thinking” yang lain seperti pemikiran saintifik, matematikal, holistik,
ekonomikal,moral dan juga kefalsafahan.
Menurut Ennis (1991), pemikiran kritis adalah
kecekapan dan keupayaan individu menggunakan minda bagi menilai kerasionalan
suatu idea, meneliti keberkesanan, kesahihan dan juga kelemahan hujah serta
membuat pertimbangan yang wajar dengan alas an dan bukti yang munasabah.
Dalam
kehidupan harian kita, pemikiran kritis membantu kita mengelakkan melakukan
kesilapan semasa membuat sesuatu keputusan. Semua manusia perlu membuat
keputusan daripada perkara yang kecil kepada yang besar. Misalnya pakaian mana
yang perlu dipakai. Seterusnya membuat keputusan kepada perkara yang besar
seperti rumah apa yang mesti dibeli. Orang di sekeliling kita juga mempengaruhi
kita dalam membuat keputusan. Ada yang mempengaruhi keputusan kita secara
langsung atau sedar seperti pengutip derma dan jurujual. Ada juga yang mempengaruhi
pemikiran kita secara halus atau tidak langsung. Pengiklan dan ahli-ahli
politik amat mahir dalam menggunakan strategi-strategi yang begitu halus bagi
mempengaruhi pemikiran kita. Contohnya jurujual memberi pelbagai alasan dan
tarikan untuk membeli produknya. Selain itu, jurujual juga menakutkan dan
memujuk serta menerangkan mengapa kita harus membeli produk. Pengilan pula
menggunakan pelbagai strategi seperti menggunakan model-model yang cantik dan
seksi dalam iklan-iklan mereka ataupun dengan menakutkan kita dengan pelbagai masalah
sekiranya kita tidak membeli produk yang diiklankan. Semua ini mendorong kita menghasilkan
keputusan yang tidak ingini sekiranya kita tidak memiliki asas yang kuat dalam berfikir
secara kritis. Mengaplikasikan teknik-teknik berfikir secara kritis seperti
menimbang sesuatu secara menyeluruh dengan minda yang terbuka dan menilai
kejituan sesuatu hujah dapat membantu kita lebih yakin dengan apa yang kita
lakukan dan membawa kepada keputusan yang lebih berkesan berdasarkan
bukti-bukti yang konkrit dan jelas.
2.4
PEMIKIRAN KREATIF
Menurut Mok Soon Sang (2011), kreatif membawa maksud
penghasilan idea, aktiviti dan benda yang baru.
Pemikiran kreatif merupakan pemikiran yang berupaya memikir apa yang
belum difikir oleh orang lain untuk menyelesaikan masalah. Ia juga adalah
kebolehan mengeluarkan pelbagai penyelesaian yang luas terhadap sesuatu
masalah. Hasil pemikiran mempunyai sifat yang tersendiri dan prosedur pemikiran
tidak tetap serta tidak dapat diramalkan. Pemikiran kreatif juga sebagai
operasi berfikir yang dapat mengembangkan idea, hasil, metafora, analogi dan
definisi atau merekacipa sesuatu yang baru. Melalui pemikiran kreatif, pelbagai
kemungkinan penyelesaian dapat dihasilkan untuk menyelesaikan masalah yang
dihadapi.
Terdapat
beberapa ciri pemikiran kreatif yang dapat ditunjukkan. Ciri utama adalah
keberanian. Keberanian ini adalah untuk menjanakan idea yang pelbagai dan baru
tanpa dikongkong oleh idea lama. Oleh yang demikian, seseorang yang mempunyai
pemikiran kreatif juga berfikiran terbuka dan sanggup menanggung risiko dan
kritikan orang lain. Biasanya usahawa, peniaga yang mempunyai ciri keberaniaan
dalam menceburi bidang perniagaan mereka.
Di samping itu, imaginasi juga merupakan
salah satu ciri pemikiran kreatif. Pemikiran kreatif mengandungi ciri imaginasi
yang mencapah serta kemahiran sintesis untuk mencantum idea-idea yang sedia ada
agar menjadi idea atau hasilan yang baru. Kebolehan mengeluarkan pelbagai jenis
idea dan berpandangan jauh serta sentiasa melangkah ke hadapan. Seseorang yang
mempunyai pemikiran kreatif juga dapat mengembangkan idea dengan cepat dan
berkesan. Perkembangan idea ini dapat menyediakan pelbagai alternatif yang baru
terutamanya dalam menyelesaiakan sesuatu masalah. Kebolehan dalam meninjau
sesuatu masalah dari beberapa sudut dan tidak tetap pada satu cara penyelesaian
sahaja.
Menurut Wallas G (1962), pemikiran
kreatif berlaku dalam beberapa proses mental dan dapat dibahagikan kepada empat
peringkat iaitu penyediaan, pengeraman, ilham dan pengesahan. Dalam peringkat
penyediaan, ia bermula dari masa melakukan hingga hasil permulaan pemikiran
yang sebenar. Proses ini perlu mengambil masa yang lama sekiranya terdapat
halangan sebaliknya tidak mengambil masa yang panjang jika berlaku lonjakan
kreatif. Walaubagaimanapun, peringkat ini akan melibatkan sikap ingin tahu,
minat, pengaruh peristiwa persekitaran dan kemudahan fizikal serta aktiviti
seperti eksperimen dan percubaan.
Pada peringkat pengeraman pula, apabila
menghadapi masalah yang rumit, biasanya penyelesaian hanya dapat diperolehi
dengan berfikir dan menaakul selepas satu jangka masa yang lama. Dalam tempoh
itu, kadang-kadang orang itu tidak memikirkan secara sedar tetapi ia tetap
berfikir dan memerhati. Jangka masa berfikir di luar kesedaran ini disebut
tempoh pengeraman (Mok Soon Sang, 2009).
Peringkat yang ketiga adalah ilham yang
membawa maksud inspirasi. Peringkat ini berlaku setelah berfikir dan cuba
berkali-kali, idea atau penyelesaian kreatif akan terhasil. Kemungkinan ilham
akan terhasil secara spontan serta diiringi dengan semangat yang berkobar-kobar
dan perasaan gembira. Biasanya, idea yang diperolehi itu mungkin hanya
sebahagian ataupun menyeluruh tetapi tidak tersusun dan perlu diubahsuai untuk
menjadi lebih bermakna.
Peringkat yang terakhir adalah
pengesahan. Proses mental akan menentukan sama ada idea atau penyelesaian yang
diperolehi itu logik dan dapat diterima. Jikalau idea atau penyelesaian itu
bertepatan, ia mungkin diperincikan. Idea abstrak pula ditonjolkan dengan
simbol dalam bentuk yang konkrit. Dalam mencari pengesahan ke atas idea untuk
penyelesaian, idea sampingan atau tambahan mungkin dihasilkan bagi
menyempurnakan penyelesaian.
Justeru itu, peranan guru dalam menyemai
kemahiran berfikir secara kreatif juga penting. Pelbagai cara dapat dijalankan
untuk menggalakkan murid-murid berfikir secara kreatif. Guru menyediakan
soalan-soalan lisan secara spontan mengikut keperluan murid. Misalnya guru
mesti pandai mengubah dan meningkatkan darjah kesukaran soalan. Soalan yang
dikemukakan mesti dari soalan yang senang kepada yang sukar. Soalan yang
disediakan juga mesti mengikut tahap dan kematangan murid. Guru perlu memupuk
sifat ingin tahu dengan soalan-soalan unik dan yang tidak dijangka. Guru boleh
memberi ganjaran dan galakan kepada murid yang meluahkan idea yang kreatif.
Guru juga memastikan murid tidak bersifat terlalu introvert dan dikongkong. Guru perlu menggunakan strategi pengajaran
yang sesuai untuk merangsang pemikiran kreatif di kalangan murid seperti
sumbangsaran, teknik bercerita, perbincangan, main peranan, bercerita dan
sebagainya yang sesuai dalam pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, guru
harus menggalakan murid melibatkan diri dalam lawatan-lawatan sambil belajar
untuk memberi pendedahan terhadap kreativiti. Menurut Gardner (1993), sains,
penerokaan dan muzium kanak-kanak menawarkan peluang-peluang untuk merangsang
kreativiti.
2.5
PEMIKIRAN DIVERGEN
Menurut kajian ahli-ahli psikologi, pemikiran divergen
boleh diertikan sebagai pemikiran kreatif. Ini kerana pemikiran divergen sering
kali digunakan digunakan untuk menghasilkan kreativiti. Ia memerlukan seseorang
berfikir secara kreatif terhadap masalah yang unik dan mempunyai jawapan yang
banyak dan pelbagai kemungkinan. Contohnya murid menjana seberapa banyak idea
mengenai satu topik dalam satu masa yang ditetapkan.
Dalam proses pemikiran divergen,
seseorang individu tidak dikongkong oleh pengetahuan dan pengalaman yang sedia
ada malah berfikir secara kreatif untuk mencari cara atau idea baru yang sesuai
untuk menyelesaikan masalah yang mempunyai pelbagai jawapan. Maka, pemikiran
divergen pula dikenali sebagai pemikiran lateral atau mendatar. Pemikiran ini
biasanya menggunakan unsur intuisi dan celik akal supaya masalah terbuka dapat
diselesaikan dengan cara yang unik dan luar biasa (Mok Soon Sang, 2009).
Peranan guru dalam menggalakan pemikiran
konvergen di kalangan murid-murid seperti memberi soalan-soalan tertutup yang
menekankan satu jawapan atau cadangan dan cara penyelesaian sahaja. Guru juga
boleh memberi aktiviti pembelajaran dengan arahan yang jelas, ringkas dan
lengkap. Aktiviti pembelajaran lebih tertumpu kepada perkara-perkara fakta dan
teknikal. Soalan-soalan yang dikemukakan perlu berasaskan hukum, prinsip atau
konsep-konsep tertentu demi memperoleh jawapan yang tepat.
2.6
PEMIKIRAN KONVERGEN
Menurut Guilford (1967), pemikiran konvergen adalah satu
daya berfikir. Beliau mengatakan bahawa pemikiran konvergen sebagai daya
berfikir yang membolehkan seseorang menggunakan pengetahuan sedia ada dengan
integrasi logik dan susunan demi menghasilkan satu idea atau jawapan yang
lazim. Penyelesaian masalah dilakukan berdasarkan pengetahuan, pengalaman,
peratuaran, prinsip, teori, hukum atau rumus
yang sedia ada (Mok Soon Sang, 2011).
Mengikut
Free Dictionary, pemikiran konvergen adalah pemikiran yang membawa maklumat
yang tertumpu kepada penyelesaian sesuatu masalah. Ia juga dikenali sebagai
pemikiran berpandu atau tertumpu dan pencarian satu jawapan. Pemikiran
konvergen terdiri daripada satu proses yang menggabungkan idea-idea yang
berlainan berdasarkan tema yang tertentu dalam satu struktur yang tersusun dan
boleh difahami (Mok Soon Sang,2011).
Pemikiran konvergen lebih tertumpu ke
arah mencari satu jawapan atau satu cara tertentu adalah dikenali sebagai
tertumpu atau pemikiran berpandu. Pemikiran konvergen kadang kala juga disebut
sebagai pemikiran penaakulan atau pemikiran kritis semasa proses berfikir.
Pemikiran ini menggunakan cara analisis, kaedah induktif serta deduktif untuk
membuat kesimpulan atau generalisasi yang menuju ke arah penyelesaian masalah
yang tunggal. Kebanyakan soalan mata
pelajaran di peringkat sekolah diselesai dengan menggunakan pemikiran konvergen
(Mok Soon Sang, 2009).
2.7 PEMIKIRAN
REKA CIPTA
Menurut Kamus Dewan, reka cipta adalah barang atau
sesuatu yang pertama kali dicipta dan merupakan satu ciptaan baru. Pemikiran
reka cipta adalah sebagai pemikiran artistik iaitu individu boleh menunjukkan kemahiran dan bakat semasa
berfikir. Seseorang yang mempunyai
pemikiran reka cipta yang tinggi akan menunjukkkan sifat-sifat seperti mempunyai kemahiran
psikomotor yang tinggi. Dalam masa yang sama, ia juga mempunyai kemahiran yang
tinggi dalam komunikasi dan semasa berinteraksi dengan orang lain. Seseorang
yang mempunyai pemikiran reka cipta ini juga boleh mampu dan boleh mencipta
sesuatu yang unik dalam jangka masa yang pendek.
Dalam
bidang pendidikan, pemikiran reka cipta amat penting dalam mata pelajaran
seperti Reka Cipta, Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup, Kajian Tempatan, Sains,
Pengukiran dan sebagainya. Dalam proses pembelajaran dan pengajaran, pendekatan
holistik digunakan untuk membangunkan perkembangan spiritual dalam diri supaya
ia selari dengan perkembangan intelektual yang dipelajari oleh murid-murid.
Melalui mata pelajaran reka cipta, integrasi ilmu intelektual
dan ilmu wahyu ini bertujuan untuk mendekatkan manusia kepada penciptanya yang
menjadi asas untuk melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif. Pengajaran
yang berunsurkan holistik dan reka cipta adalah bertujuan untuk melahirkan
pelajar yang boleh merekacipta produk yang unik dan asli daripada proses
pemerhatian terhadap ciptaan Tuhan di sekitar mereka. Pemerhatian ini
seterusnya akan dapat membimbing pelajar untuk melahirkan rasa kekaguman kepada
kekuasaan Tuhan dan penghayatan yang tinggi bagi membolehkan mereka melahirkan
idea yang asli, kreatif dan inovatif (Ragbir Kaur, 2012).
Peranan
guru dalam menggalakkan murid-murid dalam pemikiran reka cipta adalah semasa
dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Guru perlu memilih strategi dan
aktiviti yang boleh mempertingkatkan kemahiran koordinasi otak dan motor murid.
Sebagai guru boleh melibatkan koordinasi mata dengan kemahiran tangan dalam
pengajarannya untuk menarik minat dan menggalakkan pemikiran reka cipta
murid-murid. Ini dapat merangsang
perkembangan motor halus kerana ia memerlukan kemahiran penggunaan tangan yang
terkawal dan otot jari. Untuk meningkatkan perkembangan kognitif, afektif,
psikomotor, guru perlu memperbanyakkan aktiviti bermain sambil belajar. Contoh
permainan melengkapkan “jigsaw puzzle” akan menggunakan pemikiran kognitif untuk
mencari persamaan dan seterusnya menggunakkan tangan iaitu psikomotor untuk
memadamkan kepingan ke atas papan jigsaw. Permainan yang lain seperti teka-teki
dan “play dough”.
Selain daripada
itu, guru juga boleh melibatkan aktiviti yang mempunyai kemahiran motor halus
dan kasar yang berbeza di dalam kelas seperti melalui aktiviti kecil. Aktiviti
yang melibatkan motor kasar seperti dalam pergerakan seperti melompat, berlari,
merangka secara bebas akan memberi galakan dan mempengaruhi pemikiran reka
cipta murid-murid.
2.8
PEMIKIRAN CELIK AKAL
Menurut Ee Ah Meng (1994), pemikiran ialah satu proses
kognitif yang mana pengetahuan difahami, disusun dan diubah bentuk. Celik akal
merupakan kebolehan seseorang untuk mengamati atau memahami sesuatu masalah
secara tiba-tiba setelah dapat mengaitkan unsur-unsur yang logik di dalamnya. Contohnya dua eksperimen yang dijalankan oleh
Kohler ke atas cimpazi.
Dalam
Teori Gestalt, Wolfgang Kohler (1925) telah menjalankan dua eksperimen dengan
cimpazi. Dalam eksperimen yang pertama, seekor cimpazi diletak di dalam sebuah
sangkar besi. Dalam sangkar besi itu terdapat beberapa buah peti yang berlainan
saiz dan sebiji pisang tergantung di bumbung sangkar tersebut. Bumbung sangkar
yang tinggi menyukarkan cimpazi memanjat untuk mendapatkan pisang tersebut
walaupun melompat beberapa kali. Selepas itu, cimpazi melihat sekeliling
sangkar dan tiba-tiba mengheret peti demi peti ke bahagian pisang. Ia menyusun peti
secara bertindih seperti tangga dan seterusnya memanjat peti tersebut. Maka, ia
telah berjaya memperoleh pisang tersebut. Keadaan lapar telah memberi ransangan
kepada cimpazi untuk mendapat pisang yang tergantung itu. Cimpazi menyedari
peti-peti di sekitar secara tiba-tiba untuk mendapatkan pisang, ia dikatakan
mempunyai pemikiran celik akal.
Menurut Kamaruddin Hj. Husin (1993),
seseorang yang celik akal mempunyai beberapa dalam menyelesaikan masalah yang
diperoleh secara tiba-tiba. Pemikiran celik akal bergantung kepada pengalaman
dan pembelajaran yang sedia ada dan membolehkan seseorang menyusun semula
struktur dalam fikirannya. Jika seseorang yang duduk diam bagi menyusun semula
struktur fikiran yang sedia ada sebelum mendapat struktur baru dalam penyelesaian
masalah. Melalui pemerhatian, seseorang akan memiliki pemikiran celik akal.
Pemikiran celik akal melibatkan gerak
hati dan kebijaksanaan. Pemikiran celik akal membolehkan mental individu yang abstrak untuk menyelesaikan masalah. Celik
akal merupakan kebolehan melihat perhubungan di antara unsur-unsur di dalam
satu situasi yang bermasalah. Kebolehan ini timbul secara tiba-tiba. Biasanya,
celik akal dikenal sebagai pengalaman “Aha”. (Ragbir Kaur, 2012).
Antara cara-cara yang boleh meningkatkan celik akal
seperti yang dinyatakan oleh Ee Ah Meng (1994)
adalah membantu murid-murid melihat masalah secara keseluruhan sebelum masalah
itu dipecahkan kepada bahagian-bahagian yang kecil. Keupayaan melihat
keseluruhan membolehkan murid-murid menggunakan perbendaharaan konsepnya untuk
menyelesaikan satu-satu masalah.
Di samping itu, pengalaman murid-murid
hendaklah diperluaskan dari semasa ke semasa. Guru boleh mengadakan pelbagai
jenis aktiviti dan memberi pelbagai jenis masalah pembelajaran kepada murid untuk
menyelesaikan. Cara yang seterusnya ialah membimbing murid-murid memperoleh
celik akal dengan menggunakan soalan-soalan yang berturutan serta teratur.
Selain itu, beri peluang kepada murid-murid menjalankan ujikaji atau eksperimen.
Kemudiannya, bimbing mereka menganalisis rumusan tentang eksperimen tersebut.
Malah guru juga boleh membantu
murid-murid dengan memberi tunjuk ajar kepadanya tentang masalah yang dihadapi.
Menarik perhatiannya kepada unsur-unsur penting . Boleh juga adakan demontrasi
semasa menyampaikan satu-satu kemahiran atau konsep yang baru. Sambil
menjalankan tunjuk ajar, soalan-soalan yang baru hendaklah dikemukakan bagi
membantu murid-murid memahami secara mendalam setiap perbuatan guru di dalam
tunjuk ajar itu. Tambahan pula, murid-murid hendaklah dilatih membuat
andaian-andaian serta mengujinya. Latihan seperti ini mempercepatkan
murid-murid melihat perkaitan di antara unsur-unsur yang relevan di dalam
sesuatu masalah.
Selain itu, guru perlu memastikan semua murid-murid
bersedia dari segi mental, emosi dan jasmani semasa proses pengajaran.
Murid-murid yang berminat serta bermotivasi tinggi terhadap pelajaran tersebut
biasanya akan memperoleh celik akal dengan lebih cepat. Malah, ketika mengajar,
guru haruslah memberikan penerangan yang jelas, teratur dan disertai dengan contoh-contoh
yang relevan. Keadaan seperti ini dapat membantu murid-murid memperoleh celik
akal dengan lebih mudah ketika menghadapi masalah. Guru mesti menggunakan
perbendaharaan kata yang jelas, mudah difahami dan dibantu dengan gambar, audio
serta pengalaman secara langsung daripada pelajar dalam pengajarannya. Perkara
yang hendak disampaikan mestilah mudah difahami dan sesuai.
Menurut ahli Gestalt (1925) berpendapat
bahawa rangsangan menjadi masalah yang mengganggu keseimbangan murid dan gerak
balas tidak timbul secara automatik. Rangsangan yang diterima disusun semula
dan dikait dengan rangsangan yang lain. Maka, murid akan mengamati masalah yang
dihadapi dengan celik akal untuk menyelesaikannya. Manakala dalam bidang
pendidikan pula, murid perlu dilayan sebagai manusia yang menyeluruh dengan
faktor psikologi dan fisiologi yang mempengaruhi proses mental.
3.0 TEKNIK MERANGSANG KEPELBAGAIAN PEMIKIRAN
MURID
Cara menyoal merupakan salah satu cara untuk merangsang
kepelbagaian pemikiran murid-murid. Ini kerana melalui menyoal membolehkan
murid-murid memperoleh maklum balas tentang pengajaran dan pembelajaran. Malah,
didapati kebanyakan penilaian adalah bergantung kepada soalan-soalan yang
dikemukakan untuk menggerakkan minda murid. Dalam pembelajaran dan pengajaran,
guru boleh merangsang dan mencungkil fikiran murid semasa sesi soal jawab
dengan menggunakan teknik soalan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
ketika mengajar tajuk baru. Guru juga boleh menimbulkan minat dan rasa ingin
tahu murid semasa sesi soal jawab berlangsung. Cara guru menanya soalan juga
sangat penting. Misalnya semasa menanya guru tidak memanggil nama murid
tersebut malah menanya kepada keseluruhan kelas. Ini membolehkan semua murid
menggerakkan minda untuk berfikir dan dapat memberi pendapat dan idea mereka.
Guru harus berperanan untuk membantu
murid-murid dalam mengkonstruk pemikirannya. Dalam situasi ini, guru harus
menilai soalan-soalan murid dengan serius. Guru hendaklah mendapat pandangan,
penerangan atau minat murid-murid untuk menganalisis situasi pembelajaran yang
mencabar. Guru tidak patut mempunyai pandangan negatif dengan memberi jawapan
yang satu sahaja. Ini bermakna guru tidak seharusnya bergantung pada buku teks
dan latihan sahaja untuk menjana ilmu pengetahuan. Guru juga perlu membimbing
murid-murid dengan cara yang betul. Contohnya guru tidak menyalahkan
murid-murid yang memberi jawapan tidak tepat atau menunjukkan kelemahan semasa
sesi soal jawab. Sebaliknya guru wajar memberi peluang kepada murid-murid untuk
mencuba sekali lagi atau menggunakan teknik soalan yang dapat memberi panduan
ke arah
jawapan yang betul atau dikehendaki. Sebagai seorang guru perlulah
memberi galakan kepada murid-murid dalam sesi soal jawab untuk merangsang
pemikiran murid dalam kelas.
Teknik yang seterusnya adalah
menggunakan pelbagai strategi atau pendekatan pengajaran yang boleh
menggerakkan minda murid-murid. Pelbagai teknik pengajaran seperti
perbincangan, simulasi, sumbangsaran, bercerita, teknik inkuiri, teknik forum
dan sebagainya. Menurut Kementerian
Pendidikan (1990), teknik perbincangan adalah satu aktiviti mengeluar dan
mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Tujuannya adalah melatih pelajar
mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas. Melalui aktiviti perbincangan murid-murid dapat bekerjasama
dalam mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara atau topik
yang diberi. Forum juga merupakan satu sesi perbincangan yang melibatkan
beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan mengemukan pendapat dimana ia
dijalankan secara formal.
4.0 KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannnya, pemikiran adalah satu proses di
mana menggunakan minda atau otak untuk menimbangkan sesuatu masalah dan
menyelesaikan masalah dengan pelbagai cara yang sesuai dan relavan. Pemikiran
merupakan satu konsep yang penting kerana ia dapat membantu seseorang
menganalisis tindakan, emosi atau keadaan dan seterusnya membuat pemilihan dan
keputusan. Pemikiran juga adalah satu usaha otak untuk mencari keputusan
rasional. Pemikiran kritik penting dalam dunia yang mencabar. Murid-murid harus
mengaplikasi pemikiran kritik ini dalam sesi pembelajaran.
Dalam
bidang pendidkan, semua pihak seperti
pihak pentadbir, guru dan murid haruslah berusaha ke arah mencapai matlamat
untuk menjadi seoarng pemikir yang baik dan berkualiti. Tambahan pula, Malaysia
akan mencapai tahap negara maju pada tahun 2020. Maka, peranan guru dalam merealisasikan
Wawasan 2020 harus dijadikan aspirasi dalam mewujudkan golongan murid yang
komited, berwawasan dan beraspirasi tinggi ke
arah melengkapkan diri menjadi pemikir yang baik.
BIBLIOGRAFI
Atan
Long. (1976) PsikologiPendidikan.
Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Connell
,W.F . (1981) . Asas Pendidikan . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Rahil
Hj Mahyuddin, Abd Majid Mhd Isa & Zaidatol Akmaliah (1995).
Asas Pendidikan ll
(Psikologi Dalam Bilik Darjah). Serdang
Raya, Selangor. Penerbit Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Raya, Selangor. Penerbit Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Azizi
Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya & Fawziah Yahya
(2005). Aplikasi Kognitif Dalam
Pendidikan.
Bentong, Pahang. PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.
Suppiah
Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor
(2008). Psikologi Pendidikan.
Shah Alam, Selangor :
Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mok,
S. S. (2011). Psikologi Pendidikan
(2nd ed). Puchong
Selangor : Penerbit Multimedia Sdn Bhd.
Internet
Ragbir Kaur
(2009) Konsep Pemikiran.
Dimuat turun
dari http://jacsinspiration.blogspot.com/2009/08/konsep-pemikiran.html
Ainon
Mohd;Abdullah Hassan. Reka Cipta.
Dimuat turun
dari http://citacita.tripod.com/nota/rekacipta.pdf
Wertheimer &
Kohler .Teori Kognitif .
Dimuat turun
dari http:teorikognitif.blogspot.com/p/celik-akal.html
Siti Rahayah
Ariffin: Kemahiran Pemikiran Kritikal Dan Penyelesaian Masalah (2012,Julai
21).
Dimuat turun
dari http://www.ukm.my/p3k/images/sppb08/d/1.pdf
Shahrin Hashim:
Pemikiran Kritikal(2010).
Dimuat turun
dari http://eprints.utm.my/10356/1/bab9.pdf
0 comments:
Post a Comment